Sukan Lestari, Pelajar Sihat: Transformasi Gaya Hidup Sihat di Universiti Kebangsaan Malaysia
List of Authors
Mohamad Fitri Mohammed Soffian, Nur Shakila Mazalan
Keyword
Sukan Lestari, Keseronokan Aktiviti Fizikal, Mahasiswa UKM, Perbezaan Jantina
Abstract
Fasa globalisasi pada masa kini memerlukan institusi pengajian tinggi menerapkan prinsip sukan lestari demi penstabilan pembangunan aktiviti fizikal, sosial dan alam sekitar bagi memupuk graduan yang berdaya tahan. Walau bagaimanapun, kesan aktiviti fizikal melalui sukan lestari dalam kalangan pelajar masih memerlukan penerokaan lanjut untuk memupuk penglibatan yang berterusan. Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap keseronokan aktiviti fizikal dan mengenal pasti perbezaan tahap keseronokan aktiviti fizikal mengikut jantina melalui sukan lestari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kepentingan kajian ini adalah untuk melihat potensi kepada pentadbiran university tentang cara merangka program sukan yang dapat memudahkan penglibatan pelajar yang berterusan. Kajian kuantitatif telah digunakan dengan melibatkan seramai 169 peserta daripada Program Sukan dan Rekreasi di UKM, dipilih melalui kaedah persampelan raawak mudah. Physical Activity Enjoyment Scale (PACES) telah digunakan sebagai alat penilaian dan data dianalisis secara deksriptif dan inferensi menggunakan ujian Independent Samples t-test. Keputusan ujian menunjukkan bahawa tahap keseronokan yang sederhana dalam aktiviti fizikal SM = 4.28. Selain itu, tiada perbezaan yang ketara dalam tahap keseronokan aktiviti fizikal antara pelajar lelaki SM = 4.32 dan perempuan SM = 4.22, dengan nilai p = 0.06. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal melalui sukan lestari berfungsi sebagai saluran inklusif untuk memberikan keseronokan yang seimbang tanpa mengira jantina. Implikasi kajian menunjukkan bahawa university harus meningkatkan kemudahan sukan untuk menggalakkan interaksi sosial, sekaligus meningkatkan tahap keseronokan pelajar secara optimum.