Meneroka Pengetahuan Ibu Bapa dalam Menentukan Transisi Kerjaya bagi MBPK Autisme Melalui Rancangan Pendidikan Individu
List of Authors
Khairul Farhah Khairuddin, Yuliza Hasmah Yahya
Keyword
rancangan pendidikan individu (RPI), autisme, transisi ke kerjaya, pengetahuan ibu bapa
Abstract
Kualiti Rancangan Pendidikan Individu (RPI) merupakan penentu kritikal kemajuan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Autisme, namun pelaksanaannya sering terhalang oleh jurang penyelarasan antara matlamat tahunan dan realiti kefungsian murid. Kajian ini bertujuan menilai keselarasan antara amalan pengajaran RPI dengan keperluan sebenar MBPK Autisme berumur 17 hingga 19 tahun, berteraskan input pengetahuan ibu bapa. Menggunakan pendekatan kualitatif, seramai enam pasangan ibu bapa kepada MBPK Autisme yang berada dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di dua daerah di negeri Johor telah menyertai perbincangan kumpulan fokus, di mana data di-triangulasi melalui analisis komprehensif dokumen RPI. Hasil kajian mendedahkan bahawa walaupun ibu bapa mempunyai kecekapan teknikal yang terhad dalam pembangunan dokumen, mereka meletakkan keutamaan tinggi terhadap persediaan kerjaya berdasarkan keselamatan anak. Penemuan utama menunjukkan defisit kritikal MBPK dalam fungsi eksekutif, khususnya aspek komunikasi dan keselamatan diri tidak dipadankan secara strategik dalam matlamat RPI. Implikasinya, wujud anjakan inisiatif oleh ibu bapa ke arah model pekerjaan berasaskan keluarga yang dilindungi bagi mengurangkan risiko pengasingan sosial dewasa. Kajian ini menyumbang kepada bidang ilmu pendidikan khas dengan memperkenalkan perspektif resiliensi metakognitif ibu bapa sebagai "pakar domestik" yang mengisi kelompangan sistem formal. Secara tuntas, hasil penyelidikan ini mencadangkan implikasi dasar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyemak semula standard penyediaan RPI agar lebih berorientasikan profil neurologi dan fungsi eksekutif murid. Penjajaran yang lebih erat antara objektif RPI dengan kesediaan kerjaya adalah mendesak bagi memastikan kelestarian masa depan MBPK Autisme dalam pasaran kerja inklusif.