Pengajaran Kolaboratif adalah antara kaedah pengajaran di Abad 21 yang bertujuan untuk memudahkan cara pengajaran, mendidik, membimbing dan melatih pelajar bagi memperkasa pembelajaran kendiri pelajar. Dalam dunia pendidikan, guru yang mahir dan cemerlang sering dikaitkan dengan peningkatan motivasi pelajar. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh persepsi pelajar terhadap pengajaran kolaboratif dan sikap pensyarah terhadap motivasi pembelajaran bahasa Arab. Kaedah tinjauan digunakan dengan 649 respon sebagai dapatan berguna yang dikumpulkan dari 9 fakulti berbeza di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kajian ini hanya melibatkan pelajar yang telah tamat kursus Bahasa Arab Komunikasi tahap pertama. Untuk mengkaji bagaimana persepsi mereka terhadap pengajaran kolaboratif dan sikap pensyarah yang mempengaruhi motivasi pelajar. Permodelan Persamaan Berstruktur (SEM) Partial Least Squares (PLS) digunakan. Hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah pengajaran kolaboratif (KOL) berpengaruh positif dan signifikan terhadap motivasi pelajar (MOT). KOL dan SIKAP masing-masing berpengaruh positif tetapi tidak signifikan terhadap MOT. Manakala, SIKAP berpengaruh positif dan tidak signifikan berperanan memediasi antara KOL dan MOT. Justeru, dalam persekitaran pembelajaran secara online dan pengajian jarak jauh, dapatan kajian membuktikan bahawa model pengajaran kolaboratif adalah salah satu kaedah pengajaran yang dapat meningkatkan motivasi pelajar sebanyak 57.9% iaitu pada tahap sederhana. Bilangan pelajar dan ATS pensyarah perlu dikecilkan supaya kualiti PdP sentiasa berada dalam keadaan baik dan terkawal. Oleh itu, institusi pengajian tinggi yang mempunyai intake yang besar, boleh memilih gaya pengajaran kolaboratif, ia juga boleh menjadi norma baru pada masa hadapan sebagai suatu cabaran dan alternatif dalam dunia pendidikan.