Peranan Rakan Sebaya dalam Meningkatkan Pencapaian Matematik
List of Authors
Muhammad Syawal Amran, Nurul Noorerwany A Jeffry
Keyword
rakan sebaya, pencapaian matematik
Abstract
Matematik merupakan mata pelajaran yang menarik untuk dipelajari kerana ia dapat melatih minda manusia untuk berfikir secara logik, menyelesaikan masalah dan meneroka corak serta hubungannya dalam kehidupan seharian. Namun begitu, subjek ini sering dianggap sukar oleh segelintir pelajar kerana ia memerlukan pemahaman yang mendalam terhadap sesuatu konsep dan melibatkan kemahiran penyelesaian masalah yang kompleks. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor gaya pembelajaran seseorang pelajar yang tidak berkesan. Beberapa kajian lepas menunjukkan bahawa pengaruh rakan sebaya memainkan peranan penting dalam meningkatkan pemahaman dan prestasi pelajar dalam matematik. Rakan sebaya memainkan peranan sebagai sumber yang akan membimbing rakan yang lain dalam memahami konsep yang sukar melalui interaksi yang lebih santai dan berkesan berbanding kaedah konvensional. Justeru itu, penulisan kertas konsep ini membincangkan berkenaan teori perkembangan sosial dan peranan rakan sebaya dalam meningkatkan pencapaian matematik. Selain itu, cabaran peranan rakan sebaya dalam mata pelajaran matematik juga akan dibincangkan dalam penulisan ini. Rumusan bagi penulisan ini menunjukkan bahawa peranan rakan sebaya merupakan kaedah yang berkesan dalam meningkatkan pencapaian matematik. Sehubungan dengan itu, penulisan ini dapat menjadi panduan kepada guru dan pihak sekolah dalam merancang strategi bagi meningkatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran matematik khususnya serta membentuk generasi yang lebih yakin dan mahir dalam subjek ini.