Kepuasan kerja guru dilihat mampu mempengaruhi kualiti pendidikan kerana sikap guru terhadap tugas adalah hasil daripada tahap kepuasannya terhadap pekerjaan yang dilakukan. Namun, kepuasan kerja guru boleh dipengaruhi oleh efikasi kendiri dan sokongan sosial yang diterima di tempat kerja. Kajian ini bertujuan untuk melihat tahap efikasi kendiri, sokongan sosial dan dan kepuasan kerja guru serta melihat hubungan antara efikasi kendiri dan sokongan sosial dengan kepuasan kerja guru di daerah Kudat Sabah. Kajian ini penting untuk membolehkan guru meningkatkan tahap kepuasan kerja agar guru bermotivasi dalam mencapai matlamat pendidikan. Kajian yang dijalankan ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan kaedah tinjauan. Populasi kajian adalah terdiri daripada guru yang mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah di daerah Kudat Sabah. Seramai 317 sampel yang terlibat dan dipilih secara rawak mudah. Soal selidik telah digunakan sebagai instrumen kajian dan data yang diperoleh dianalisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan perisian Statistical Package of Social Sciences (SPSS) versi 26. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru di daerah Kudat Sabah mempunyai tahap efikasi kendiri yang tinggi (M=3.90, SP=0.46), tahap sokongan sosial yang tinggi (M=4.04, SP=0.69) dan tahap kepuasan kerja yang tinggi (M=4.11, SP=0.70). Selain itu, terdapat hubungan positif yang signifikan pada tahap yang sederhana antara efikasi kendiri dengan kepuasan kerja guru (r=0.57, p<0.05) dan terdapat hubungan positif yang signifikan pada tahap yang kuat antara sokongan sosial dengan kepuasan kerja guru (r=0.73, p<0.05). Oleh itu, pihak yang berkaitan dengan kerjaya guru boleh memanfaatkan kajian ini dengan memberikan perhatian dan fokus kepada efikasi kendiri dan sokongan sosial dalam usaha untuk meningkatkan kepuasan kerja.