Penyertaan sosial murid berkeperluan khas merupakan fokus utama program pendidikan inklusif (PPI). Tujuan penyelidikan ini dilaksanakan adalah untuk mengenalpasti penyertaan sosial antara murid arus perdana dan murid berkeperluan pendidikan khas pembelajaran (MBPK) di dalam kelas inklusif. Objektif penyelidikan mengenalpasti tahap (ⅰ) penerimaan rakan sebaya, dan (ⅱ) interaksi sosial MBPK di dalam kelas inklusif. Metodologi: Penyelidikan kuantitatif tinjauan dijalankan. Borang soal-selidik diadaptasi daripada Social Participation Quitionaire (SPQ) yang mempunyai ketekalan dalaman (α=.79) untuk mengumpul data daripada 165 peserta kajian yang berada di kelas inklusif, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, daerah Melaka Tengah. Data dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan dipersembahkan dalam bentuk kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, dan intepretasi. Dapatan penyelidikan menunjukkan, penyertaan sosial MBPK dari segi penerimaan rakan sebaya, dan interaksi sosial berada pada tahap sederhana. Implikasi penyelidikan ini adalah memberi gambaran jelas kepada guru yang terlibat dalam kelas inklusif perlulah berusaha memupuk penyertaan sosial yang positf dalam kalangan murid. Kesimpulannya, pihak berkepentingan perlu berusaha meningkatkan penyertaan sosial MBPK di dalam kelas inklusif untuk membantu mereka menyesuaikan diri dalam konteks dunia sebenar.