Bagi mencapai tahap kecergasan fizikal yang seimbang, individu perlu melakukan gabungan senaman yang dapat meningkatkan daya tahan kardiovaskular, kekuatan otot, ketahanan otot serta kelenturan. Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti kecergasan dan kemahiran motor asas manipulatif bagi murid perempuan berumur 10 tahun di sembilan daerah Negeri Selangor yang diwakili oleh 40 orang murid setiap daerah. Kajian ini telah menggunakan dua ujian iaitu bateri ujian FITNESSGRAM® bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid dan instrumen South Carolina Physical Education Assesment Program (SCPEAP) (2001) yang telah diubahsuai (Rink, 2009) untuk mengukur tahap kecekapan kemahiran motor murid. Dapatan kajian mendapati terdapat perbezaan yang signifikan meliputi komponen kecergasan kardiovaskular, murid bandar mencatat min yang melebihi murid luar bandar, komponen kecergasan kekuatan dan daya tahan otot abdomen, murid luar bandar mencatat min yang lebih tinggi daripada murid bandar. Manakala komponen kecergasan kelenturan tidak ada perbezaan yang signifikan ditunjukkan antara murid bandar dan luar bandar. Komponen kemahiran asas manipulatif pula, terdapat perbezaan yang signifikan antara murid bandar dan luar bandar dalam prestasi menghantar bola aras dada. Murid bandar mencatat min yang lebih tinggi daripada murid luar bandar. Secara keseluruhannya kajian ini menunjukkan terdapat perbezaan dari aspek kecergasan dan kemahiran motor antara murid bandar dan luar bandar dan implikasi kajian ini sangat berguna bagi memberi maklumat serta informasi kepada dunia pendidikan.