Kurikulum negara telah mengalami perubahan sejajar dengan pelaksanaan pelan pendidikan terkini. Perubahan tersebut menimbulkan pelbagai isu dan masalah yang memberikan kesan terhadap pencapaian matlamat sistem pendidikan negara. Kajian bertujuan mengenal pasti tahap pengetahuan dan pelaksanaan KSSR (Semakan 2017) dari perspektif guru. Reka bentuk kuantitatif melalui kaedah tinjauan digunakan untuk menjalankan kajian. Seramai 140 orang guru dari daerah Rompin, Pahang telah menjawab soal selidik kajian. Analisis deskriptif dan inferensi dijalankan bagi menentukan nilai min, sisihan piawai dan korelasi melalui perisian SPSS 29. Hasil dapatan menjelaskan tahap pengetahuan guru adalah tinggi dengan nilai min 4.27 dan sisihan piawai 0.67. Tahap pelaksanaan turut berada pada aras tinggi dengan nilai min 4.20 dan sisihan piawai 0.71. Sementara itu, kajian mendapati wujud hubungan signifikan antara pengetahuan dan pelaksanaan KSSR (Semakan 2017) dengan nilai korelasi 0.75. Implikasi kajian menjelaskan guru perlu dibekalkan pengetahuan dan diberikan pendedahan lengkap tentang perubahan kurikulum bagi menjamin pelaksanaan yang berkesan.