Kajian tindakan ini bertujuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam tajuk sifat gas melalui penggunaan aplikasi Simulator Sifat Gas, suatu aplikasi pembelajaran mudah-alih. Tinjauan awal ke atas dokumen pengajaran dan pembelajaran semasa menunjukkan penekanan pada aras simbolik kimia tetapi kurang penekanan diberikan pada aras submikroskopik kimia. Ini menjadikan kimia sukar difahami, menggalakkan miskonsepsi dan pembelajaran hafalan. Bagi mengatasi masalah ini tindakan dirancang adalah penggunaan Simulator Sifat Gas sebagai alat pembelajaran. Kajian tindakan ini melibatkan 62 orang pelajar dan dijalankan dalam dua gelung. Gelung pertama adalah sesi pembelajaran kendiri menggunakan aplikasi tersebut. Didapati 58 orang pelajar mencapai gred A dalam ujian pos. Baki pelajar yang tidak mendapat A menjalani sesi pembelajaran tambahan, kali ini dengan bimbingan guru. Ini membentuk gelung kedua kajian tindakan dan pelajar-pelajar ini juga mendapat gred A selepas sesi ini. Soal-selidik skala likert sepuluh soalan dan satu soalan terbuka diguna untuk mendapatkan maklum balas pelajar tentang aplikasi tersebut. Umumnya pelajar sangat setuju dengan penggunaan aplikasi tersebut di mana skor penerimaan pelajar adalah purata 3.6 daripada maksimum 4. Daripada 62 maklum balas terbuka diterima 58 adalah positif. Kesimpulannya Simulator Sifat Gas dapat membantu pelajar memahami dan menjelaskan sifat gas dengan baik dan betul dan dapat membantu guru mencapai objektif pembelajaran dengan penerangan aras submikroskopik lebih terperinci. Justeru penggunaannya secara meluas wajar dipertimbangkan.