Pembelajaran berasaskan permainan merupakan salah satu pendekatan pengajaran yang semakin popular pada zaman sekarang. Kajian ini cuba mengkaji kesan kaedah pembelajaran berasaskan permainan terhadap pencapaian murid sekolah rendah matematik. 80 orang murid dari kelas tahun 2 dipilih sebagai sampel kajian. Instrumen ujian pra dan ujian pasca digunakan dalam kajian ini. Ujian ini digunakan sebagai alat untuk menguji tahap pencapaian murid bagi kumpulan kawalan yang menjalani kaedah pembelajaran tradisional dan kumpulan rawatan yang menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan permainan. Persepsi pelajar terhadap penggunaan kaedah pembelajaran berasaskan permainan diukur melalui temu bual separa berstruktur. Peratus dan min skor digunakan untuk buat analisis data. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar yang didedahkan kepada pembelajaran berasaskan permainan memperoleh kesan positif dari segi pencapaian mereka dalam matematik. Melalui kajian ini, dapat dibuktikan bahawa penggunaan permainan dapat menyokong dan meningkatkan hasil pembelajaran matematik.