Kajian bertujuan melihat pengaruh tret personaliti terhadap kematangan kerjaya pelajar kolej vokasional di Sarawak. Kajian juga bertujuan mengenalpasti tret personaliti pelajar, tahap kematangan kerjaya dan perbezaan tahap kematangan kerjaya berdasarkan faktor jantina. Sampel terdiri daripada 198 orang pelajar tahun akhir, dipilih menggunakan kaedah persampelan rawak daripada enam buah kolej vokasional di Sarawak. Kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik, terdiri daripada (i) Maklumat Peribadi, (ii) Inventori Self-Directed Search dan (iii) Inventori Kematangan Kerjaya. Data yang dipungut dianalisis menggunakan analisis deskriptif iaitu kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai bagi menjawab soalan kajian pertama dan kedua. Manakala analisis inferensi seperti ujian-t dan regresi digunakan untuk menguji hipotesis kajian. Kajian mendapati tret personaliti mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kematangan kerjaya. Kajian juga mendapati tret personaliti artistik merupakan tret personaliti dominan, manakala tahap kematangan kerjaya adalah sederhana. Kajian menemukan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kematangan kerjaya berdasarkan faktor jantina. Justeru, pihak kolej vokasional haruslah memperkasa elemen bimbingan dan kaunseling kerjaya di kolej vokasional dalam mempertingkatkan tahap kematangan kerjaya pelajar.