Pembinaan Kerangka Konseptual Kajian Bagi Model Pelaksanaan Ibadah Pesakit Dialisis
List of Authors
  • Arieff Salleh Rosman, Zahin Mohamad Tahir

Keyword
  • Model Pelaksanaan Ibadah, Pesakit Dialisis, Kerangka Teori, Permasalahan dan Hukum, Dakwah dan Intervensi (DaI)

Abstract
  • Pelaksanaan ibadah merupakan aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim, termasuk pesakit dialisis. Namun, pesakit dialisis sering menghadapi cabaran dalam melaksanakan ibadah disebabkan oleh keadaan kesihatan, jadual rawatan yang ketat, dan kekangan pengetahuan asas berkenaan ibadah ketika dialisis. Justeru, model pelaksanaan ibadah pesakit dialisis menggabungkan tiga komponen utama iaitu komponen permasalahan, hukum, dan Dakwah dan Intervensi (DaI). Pendekatan ini sejajar dengan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menunjukkan kesepaduan elemen program bimbingan, pengurusan rohani, dan ibadah pesakit di hospital. Artikel ini bertujuan untuk membincangkan kerangka teori bagi model pelaksanaan ibadah pesakit dialisis di Malaysia. Kerangka ini mengambil kira aspek permasalahan dan penyelesaian berasaskan masalah dengan melibatkan kerjasama antara pakar perubatan, pakar agama, dan pegawai Hal Ehwal Islam. Ia juga mempertimbangkan keperluan khusus pesakit dialisis seperti penyesuaian waktu ibadah dengan sesi dialisis, kaedah bersuci yang sesuai, dan penyesuaian kaedah ibadah mengikut keadaan fizikal pesakit. Metodologi pembangunan kerangka ini melibatkan analisis kajian literatur secara komprehensif. Kerangka teori yang dihasilkan akan menjadi asas untuk pembangunan modul latihan bagi kakitangan kesihatan dan panduan praktikal untuk pesakit dialisis. Kerangka ini diharap dapat menjadi panduan dalam pembangunan model pelaksanaan ibadah yang komprehensif dan berkesan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan spiritual pesakit dialisis di Malaysia. Implikasi kajian ini termasuk peningkatan kualiti pelaksanaan ibadah pesakit dialisis dan potensi adaptasi model untuk pesakit kronik lain.

Reference
  • No References Recorded