Kajian ini membincangkan mengenai etimologi atau asal-usul perkataan ‘Cekak’ yang digunakan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) sejak tahun 1965 bagi merujuk kepada sejenis silat Melayu yang berasal dari negeri Kedah Darul Aman. Perbincangan ini akan menghurai secara ringkas pengertian Cekak dari sudut sejarah, bahasa lisan serta perkaitan dengan budaya masyarakat Melayu di Nusantara. Perkataan Cekak tersebut telah mengalami proses evolusi lisan yang panjang dengan berkembang, dipertuturkan serta diperturunkan secara meluas dari satu generasi ke satu generasi. Hasil kajian merumuskan bahawa perkataan Cekak mempunyai maksud tersendiri bertepatan dengan ciri-ciri terkandung di dalam ilmu Seni Silat Cekak yang berkembang di Semenanjung Tanah Melayu sejak abad ke 18 hingga kini.