Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti gaya pengajaran guru dalam pengajaran topik operasi asas matematik sekolah rendah. Kajian yang dijalankan merupakan kajian kualitatif yang menggunakan pendekatan kajian kes ke atas sampel seorang guru sekolah rendah. Sampel dipilih secara pensampelan bertujuan. Tiga instrumen digunakan bagi memperoleh data iaitu pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen yang diadaptasi dengan menggunakan model gaya pengajaran guru daripada Grasha-Riechmann. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif berdasarkan pemerolehan kesemua data. Keputusan kajian menunjukkan guru mengamalkan gaya pengajaran pakar dalam pengajaran operasi asas matematik dan didapati lebih dominan dalam mengaplikasikannya sewaktu pengajaran berlangsung.