Mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) diperkenalkan di sekolah menengah pada tahun 2017. Mata pelajaran RBT di sekolah menengah menekankan pengintegrasian teknologi dalam proses pelaksanaan PdPc, sebagai salah satu cara untuk mencapai matlamat mata pelajaran tersebut. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menerangkan amalan pengintegrasian teknologi guru-guru bukan pengkhususan mata pelajaran RBT di sekolah menengah berdasarkan model SAMR. Kutipan data menggunakan strategi pemerhatian tidak turut serta sebagai sumber data utama dan melibatkan seramai tiga orang guru sebagai peserta kajian yang dipilih berdasarkan pemilihan sampel bertujuan. Dapatan kajian mendedahkan amalan pengintegrasian teknologi guru bukan pengkhususan mata pelajaran RBT di sekolah menengah masih pada tahap yang rendah iaitu hanya pada tahap enhancement atau penambahbaikan. Dapatan kajian ini memberikan implikasi kepada pihak berwajib seperti KPM agar menyediakan kursus dan latihan berterusan kepada guru-guru bukan pengkhususan mata pelajaran RBT di sekolah menengan serta menyelenggara dan melengkapkan kemudahan asas dan peralatan teknologi di sekolah.