Dunia hari ini menyaksikan pengembangan peranan dan kuasa wanita yang semakin hebat dalam dunia keusahawanan pada peringkal glokal dan global. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti cadangan penambahbaikan bagi mengukuhkan peranan kolej komuniti dalam memperkasakan usahawan wanita. Kajian ini menggunakan kaedah kajian pustaka secara sistematik bagi memperolehi data sekunder. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kejayaan usahawan wanita dipengaruhi oleh sikap mereka yang bijak mengambil peluang, apatah lagi dalam dunia sekarang yang dikuasai teknologi dan perniagaan digital. Dapatan kajian juga menunjukkan kursus-kursus PSH kolej komuniti telah berjaya menarik penyertaan usahawan wanita di seluruh negara. Kajian ini juga telah mencadangkan empat penambahbaikkan dibuat dalam kolej komuniti bagi mengukuhkan lagi peranan kolej komuniti dalam memperkasakan usahawan wanita. Penambahbaikan tersebut meliputi data lengkap usahawan wanita di Malaysia yang mana ianya penting sebagai sumber untuk meganalisis profil usahawan, mengangkat kolej komuniti sebagai hub PSH yang menjadi pusat pendidikan kemahiran dan pengembangan ilmu, mewujudkan pelan pengukuhan dan tindakan kepada usahawan wanita, dan menyediakan projek simulasi perniagaan. Kajian ini seterusnya mencadangkan satu kajian tinjauan dijalankan bagi mengenalpasti profil usahawan wanita. Kajian tinjauan yang dicadangkan ini adalah penting bagi menyediakan program pendidikan sepanjang hayat yang lebih berkesan dan menepati keperluan usahawan wanita. Data daripada kajian tinjauan yang dicadangkan ini boleh menjadi sumber rujukan utama pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan dalam merancang pakej-pakej bantuan pendidikan dan kewangan yang berfokus kepada usahawan wanita dan seterusnya membantu penubuhan Malaysia Negara Keusahawanan 2030.