Etiket Bahasa dalam Prakata: Analisis Permulaan Wacana antara Penulis dan Pembaca
List of Authors
Azean Idruwani Idrus3, Elsa Putri E. Syafril, Rohaidah Mashudi
Keyword
prakata, etiket bahasa, kesopanan, buku akademik
Abstract
Prakata pada permulaan sesebuah buku menjadi penyampai kepada perkongsian maklumat untuk keseluruhan buku tertentu. Bahkan prakata menjadi penghubung kepada permulaan komunikasi penulis dengan pembaca. Kajian ini meneliti ungkapan yang memperlihatkan ciri-ciri etiket bahasa dalam prakata buku akademik dan membincangkan penggunaan etiket bahasa melalui ungkapan yang digunakan dalam prakata. Etiket bahasa merangkumi bentuk penghargaan, gaya penyampaian, dan tahap kesopanan yang digunakan penulis dalam menyampaikan maklumat kepada pembaca. Teks wacana prakata menjadi data utama dalam kajian ini, yang diambil dari tiga buah buku akademik iaitu Warkah Melayu Lama (Ab. Razak Ab. Karim, 2006), Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et al., 2008) dan Penelitian Bahasa dan Budaya Melayu: Teori dan Aplikasi (Zaitul Azma Zainon Hamzah et al., 2009). Teks ini dianalisis secara kualitatif deskriptif dengan menggunakan kaedah analisis wacana oleh Asmah Omar. Data untuk setiap buku akademik ini dianalisis dengan membuat tiga bahagian iaitu bahagian permulaan, bahagian pertengahan dan bahagian akhir prakata. Dapatan menunjukkan bahawa prakata dalam buku akademik menggunakan ungkapan yang bercirikan etiket bahasa dengan membawa maksud kesopanan. Penggunaan etiket bahasa ini secara tidak langsung adalah sebagai medium dalam membina hubungan emosi dan intelektual antara penulis dan pembaca.