Identiti Bahasa Guru Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: Rundingan, Konflik dan Strategi Penyesuaian
List of Authors
  • Muhammad Shahrul Rozali, Nor Azwahanum Norshaid

Keyword
  • identiti bahasa, guru Bahasa Melayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, sosiolinguistik, pendidikan pelbagai aliran

Abstract
  • Kajian ini meneliti pembentukan dan rundingan identiti bahasa guru Bahasa Melayu yang berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam konteks pendidikan pelbagai aliran di Malaysia. Dalam persekitaran sekolah yang didominasi oleh bahasa dan budaya bukan Melayu, guru Bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai penyampai kurikulum, malah turut menggalas tanggungjawab simbolik sebagai agen ideologi kebangsaan. Berpandukan Teori Identiti oleh Bonny Norton (1997, 2013), kajian ini bertujuan meneroka pembentukan identiti bahasa guru, pengalaman konflik identiti yang dialami, serta strategi penyesuaian yang digunakan dalam konteks sekolah vernakular. Pendekatan kualitatif interpretif digunakan melalui temu bual mendalam, pemerhatian dan analisis dokumen. Dapatan kajian menunjukkan bahawa identiti bahasa guru dipengaruhi oleh struktur kuasa linguistik dan budaya institusi sekolah. Guru berhadapan konflik identiti yang berpunca daripada dominasi bahasa Mandarin, persepsi subordinat terhadap Bahasa Melayu serta tekanan emosi sebagai minoriti linguistik. Bagi menangani konflik tersebut, guru membangunkan strategi seperti penggunaan kod campur, penyesuaian pedagogi dan pembentukan identiti hibrid bagi menyeimbangkan tuntutan nasionalisme bahasa dengan realiti tempatan. Kajian ini menyumbang kepada wacana sosiolinguistik pendidikan dan berpotensi menjadi rujukan kepada pembuat dasar serta institusi latihan guru dalam merangka sokongan profesional yang lebih kontekstual dan empatik.

Reference
  • No References Recorded