Kitar semula boleh diertikan sebagai memproses bahan lama atau bahan yang telah digunakan untuk membuat barang baharu. Kajian ini memfokuskan kepada eksperimentasi penggunaan bahan kitar semula bagi menghasilkan reka bentuk pakaian kasual yang praktikal. Ia bertujuan meningkatkan penggunaan bahan kitar semula dan menyerlahkan proses dan teknik yang bersesuaian dengan reka bentuk pakaian yang memerlukan daya kreativiti yang tinggi agar mengikut gaya terkini. Metodologi kajian secara kualitatif melalui eksperimentasi bahan dan proses penghasilan reka bentuk pakaian dari bahan kitar semula telah digunakan. Dapatan kajian menunjukkan eksperimentasi bahan kitar semula (karung guni, t-shirt, tikar mengkuang, tempurung kelapa, kain, beg plastik, kasut) telah berjaya menghasilkan satu set pakaian kasual (sleeveless top, jaket, seluar, kasut, subang, topi, butang baju, tali kasut, tali aksesori). Penghasilan produk seumpama ini pastinya dapat menambah nilai kelestarian dalam industri fesyen di Malaysia.