Laporan Perangkaan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mendapati bahawa peratusan wanita yang memegang jawatan di peringkat pengurusan tertinggi adalah sangat rendah berbanding dengan lelaki. Firma Ukur Bahan adalah satu syarikat yang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dalam bidang Ukur Bahan. Oleh itu, satu kajian dijalankan untuk mengenalpasti cabaran yang dihadapi oleh Juruukur Bahan wanita dan mengenalpasti strategi yang diambil bagi mengatasi cabaran yang dihadapi oleh Juruukur Bahan wanita di peringkat pengurusan tertinggi. Temubual telah dijalankan ke atas 5 responden wanita yang memegang jawatan tertinggi di firma Ukur Bahan. Kaedah kualitatif dan kuantitatif digunakan bagi mencapai objektif pertama iaitu dengan menggunakan kaedah pengkodan dan min analisis bagi mengetahui cabaran tertinggi dan terendah. Manakala objektif kedua, kaedah kualitatif digunakan dengan menggunakan kaedah pengkodan. Hasil kajian mendapati bahawa Juruukur Bahan wanita yang memegang jawatan di peringkat pengurusan tertinggi menghadapi cabaran dari aspek diri sendiri, pekerja, kewangan, pengurusan firma dan bekerja dalam kumpulan. Dua cabaran tertinggi yang dihadapi oleh Juruukur Bahan wanita tersebut dengan skor min 5.00 adalah dari aspek pekerja (pekerja mahir) dan kewangan (operasi firma). Manakala cabaran terendah dengan skor min 2.80 adalah dari aspek bekerja dalam kumpulan (sering dibuli oleh konsultan). Manakala strategi-strategi yang paling tinggi digunakan oleh Juruukur Bahan wanita bagi menghadapi cabaran-cabaran tersebut adalah membawa masuk projek baru, mempunyai pengalaman yang banyak, menegur pekerja dengan baik, dan berani memberi pendapat semasa mesyuarat.