Ironi Di Sebalik Perkhidmatan Pendermaan Ovum
List of Authors
  • Naziah Abd. Kadir

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Perkahwinan adalah sebagai akad perjanjian untuk menyatukan lelaki dan perempuan bagi menghalalkan hubungan bertujuan mencapai kebahagiaan yang berkekalan mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak. Islam menekankan faktor penerusan zuriat yang halal sebagai tujuan utama perkahwinan (Rozumah Baharudin & Rumaya Juhari, 2002). Namun, tidak semua pasangan suami isteri yang bernasib baik dikurniakan anak secara proses semula jadi. Kadangkala ketidaksuburan sebelah pihak menghalang proses semula jadi ini terjadi. Ini adalah suatu realiti yang menyakitkan bagi sesetengah pasangan. Pelbagai cara yang pastinya akan meraka usahakan demi mendapatkan zuriat. Salah satunya adalah melalui cara menggunakan ovum yang didermakan oleh penderma. Isu pendermaan ovum sering dilanda pelbagai kontroversi yang semakin bertambah dari tahun ke tahun yang menyebabkan banyak isu etika pendermaan ovum masih tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini. Istilah pendermaan ovum merujuk kepada kaedah mendermakan ovum seorang wanita yang berkeupayaan untuk menghasilkan ovum secara sukarela atau dibayar dengan kadar tertentu. Kaedah pendermaan ovum ini dilakukan kerana seseorang wanita itu tidak boleh hamil disebabkan pelbagai masalah kesihatan. Namun, kebelakangan ini, kebanyakan wanita berharta juga turut menggunakan perkhidmatan pendermaan ovum atas faktor mahukan anak yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti cantik, bijak, berkulit cerah dan sebagainya. Ini secara tidak langsung menyebabkan wanita yang miskin membuatkan perkhidmatan ini sebagai suatu kerjaya lubuk duit. Perkhidmatan pendermaan ovum telah mencetuskan banyak permasalahan di bidang agama dan juga sosial. Permasalahan pertama adalah mengenai hukum menggunakan ovum pihak lain bagi mendapatkan zuriat. Permasalahan kedua ialah golongan wanita yang tidak berpendidikan tinggi dan miskin menjadikan perkhidmatan pendermaan ovum sebagai kerjaya tetap yang memberikan pulangan yang menguntungkan. Permasalahan seterusnya ialah status dan identiti anak yang dilahirkan melalui kaedah ini. Melihat kepada permasalahan-permasalahan yang muncul, maka perlunya suatu kajian untuk membahas tentang isu ini supaya semua pihak mendapat kebaikan dan pencerahan yang selengkapnya mengenai perkhidmatan pendermaan ovum kepada pasangan suami isteri yang berhasrat menggunakan perkhidmatan ini ataupun yang telah memiliki zuriat melalui khidmat pendermaan ovum. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif yang mana pengkaji akan menjalankan temu bual berstruktur separa bagi memahami makna yang diberikan oleh responden terhadap fenomena sosial yang berlaku ini.


Reference
  • No Data Recorded