Meneroka Pengalaman Ibu Bapa dalam Intervensi Awal bagi Murid Berkeperluan Khas Ketidakupayaan Pendengaran
List of Authors
Mohd Syazwan Zainal, Nor Azizah Ahmad1
Keyword
Pengalaman Ibu Bapa, diagnosis awal, ketidakupayaan pendengaran, intervensi
Abstract
Kajian ini bertujuan meneroka pengalaman ibu bapa ketika melalui proses pengesanan dan diagnosis awal ketidakupayaan pendengaran anak mereka dalam konteks intervensi awal. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kes kualitatif dengan melibatkan enam orang ibu kepada berkeperluan khas ketidakupayaan pendengaran berumur antara lima hingga dua belas tahun yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas Masalah Pendengaran. Peserta dipilih melalui pensampelan bertujuan. Data dikumpulkan menggunakan temu bual separa berstruktur, pemerhatian tidak berstruktur dan analisis dokumen, serta dianalisis secara analisis tematik dengan bantuan perisian NVivo 15. Dapatan kajian mengenal pasti tiga tema utama, iaitu: (i) proses pengesanan dan diagnosis awal ketidakupayaan pendengaran, (ii) perasaan dan reaksi emosi ibu bapa selepas diagnosis, dan (iii) pengalaman mendapatkan maklumat serta panduan profesional. Hasil kajian menunjukkan bahawa proses pengesanan dan diagnosis awal berlaku melalui laluan yang pelbagai dan tidak seragam, manakala diagnosis turut mencetuskan pelbagai reaksi emosi dalam kalangan ibu bapa, Selain itu, pengalaman ibu bapa dalam mendapatkan maklumat dan panduan profesional didapati tidak konsisten, khususnya dari segi kejelasan komunikasi dan penglibatan dalam membuat keputusan. Kajian ini mengesyorkan penambahbaikan sistem intervensi awal di Malaysia melalui penyelarasan yang lebih kukuh antara sektor kesihatan dan pendidikan serta penubuhan kumpulan sokongan ibu bapa berstruktur bagi memperkasa keluarga.