Penguasaan Kemahiran Proses Matematik: Isu dan Cabaran Pelaksanaan dalam Pendidikan STEM
List of Authors
Halim Mohiji, Siti Mistima Maat
Keyword
kemahiran proses matematik, isu pelaksanaan, cabaran, STEM
Abstract
Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) telah mendapat perhatian yang semakin meningkat dari bidang penyelidikan dan amalan pendidikan. Walaupun pendidikan STEM menekankan kesalinghubungan antara disiplin, literatur penyelidikan secara konsisten melaporkan bahawa peranan yang dimainkan oleh matematik kurang ditekankan. Hal ini akan mempengaruhi penguasaan kemahiran proses matematik seperti penyelesaian masalah, penaakulan, komunikasi secara matematik, perwakilan matematik dan membuat perkaitan yang penting dalam pendidikan STEM. Justeru itu, kertas konsep ini berhasrat meneroka kepentingan menguasai kemahiran proses matematik dalam pendidikan STEM. Kertas konsep ini juga mengenal pasti dan menganalisis isu dan cabaran utama pelaksanaan yang dihadapi dalam memupuk penguasaan kemahiran ini dalam pendidikan STEM. Cabaran ini termasuk penyepaduan matematik dalam kurikulum STEM, pengetahuan kandungan guru (PKG) dan pengetahuan pedagogi kandungan guru (PPKG), pentaksiran dan penilaian serta kekurangan sumber. Kertas ini juga mencadangkan penambahbaikan yang berpotensi untuk menangani isu dan cabaran-cabaran tersebut. Menyepadukan dan membangunkan kemahiran proses matematik secara berkesan dalam pendidikan STEM boleh memperkasakan pelajar untuk menjadi pemikir kritis, penyelesai masalah dan inovator yang bersedia untuk tuntutan abad ke-21.