Pelancongan Islamik kini semakin menjadi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara. Ini kerana pakej pelancongan sebegini dilihat lebih sesuai untuk aktiviti pelancongan bersama keluarga. Selain golongan dewasa, golongan muda juga semakin meminati program pelancongan Islamik terutama bagi mereka yang cenderung mencari ilmu melalui program keagamaan yang dianjurkan seperti kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah maghrib dan forum berkaitan kebenaran Sunnah yang perlu diketahui oleh masyarakat umum. Terdapat dua objektif utama kertas konsep ini disediakan iaitu 1) Memahami definisi pelancongan Islamik dan 2) Mengenalpasti ciri-ciri potensi pelancongan Islamik. Berdasarkan penelitian rujukan dari kajian dan jurnal akademik lepas, artikel surat khabar secara atas talian, platform media sosial dan laman sesawang berkenaan pelancongan berasaskan Islamik, didapati definisi pelancongan Islamik menekankan kepada kepatuhan kepada suruhan Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah S.A.W. Manakala faktor penarik atau potensi pelancongan Islamik adalah berdasarkan penganjuran program keagamaan yang mempunyai ciri-ciri seperti penyebaran dakwah, penampilan figura agamawan serta aktiviti keusahawanan produk halal. Hasil kajian kertas konsep ini boleh dijadikan rujukan oleh penganjur program dalam perlaksanaan program pelancongan Islamik pada masa hadapan. Selain itu, dapatan kajian ini boleh dirujuk oleh penyelidik untuk menjalankan kajian lanjutan berkenaan Program Perkampungan Sunnah Perlis.