risiko keselamatan siber, pembelian atas talian, keibubapaan digital, pelajar sekolah menengah; amalan perlindungan
Abstract
Perkembangan pesat ekonomi digital di Malaysia telah menjadikan pembelian atas talian sebagai amalan lazim dalam kalangan pelajar sekolah menengah, sekali gus meningkatkan pendedahan kepada risiko keselamatan siber seperti penipuan dalam talian (online scam), pengambilalihan akaun dan pendedahan data peribadi. Walaupun isu keibubapaan digital sering dibincangkan, tumpuan tempatan masih lebih terarah kepada kawalan masa skrin dan kandungan berbanding pengurusan risiko transaksi komersial anak. Kajian kualitatif ini bertujuan meneroka pandangan ibu bapa terhadap risiko keselamatan siber dalam pembelian atas talian pelajar sekolah menengah serta amalan perlindungan yang dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas transaksi. Berpandukan paradigma interpretif, data dikumpul melalui temu bual separa berstruktur dengan lima orang ibu bapa kepada pelajar berumur 13 hingga 17 tahun dan dianalisis menggunakan analisis tematik refleksif. Dapatan kajian mengenal pasti bahawa persepsi risiko ibu bapa tertumpu kepada penipuan transaksi, pengambilalihan akaun dan pelanggaran privasi, khususnya apabila pembayaran dan komunikasi dibawa ke luar platform e-dagang rasmi. Ibu bapa yang menilai risiko sebagai tinggi cenderung melaksanakan amalan perlindungan berlapis seperti had perbelanjaan, larangan membuat bayaran di luar platform, semakan penjual dan pengukuhan keselamatan akaun. Dapatan turut menunjukkan bahawa pemantauan berasaskan kepercayaan, komunikasi yang tidak menghukum dan rasional peraturan yang difahami anak adalah faktor kritikal dalam mengekalkan pematuhan keselamatan tanpa menjejaskan autonomi remaja. Kajian ini mencadangkan bahawa perlindungan transaksi atas talian remaja memerlukan pendekatan holistik yang menggabungkan amalan keluarga, literasi transaksi atas talian di sekolah serta sokongan ekosistem platform dan institusi kewangan bagi mengurangkan kerentanan keselamatan siber dalam konteks Malaysia.