Perkembangan teknologi telefon pintar seharusnya dimanfaatkan bukan sahaja utuk tujuan capaian internet dan komunikasi, bahkan juga dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) Kajian ini bertujuan membangunkan alat bahan bantu mengajar berbentuk aplikasi mobil bagi membantu pelajar dalam bidang Kejuruteraan Elektrik mengendalikan peralatan pengukuran asas iaitu Oscilloscopes, Function Generator dan Multimeter serta pemasangan litar siri dan selari. Proses pembangunan aplikasi ini diadaptasi dari Model reka bentuk pengajaran ADDIE yang mengandungi lima fasa iaitu Analisis, Reka Bentuk, Pembangunan, Pelaksanaan dan Penilaian. Proses mengarang dan membangunkan kandungan aplikasi ini adalah berbantukan teknologi web 2.0 iaitu Padlet, Quizizz serta laman penyimpanan video Youtube. Aplikasi ini dipakejkan dalam bentuk aplikasi android menggunakan perisian MIT Apps Inventor agar dapat diguna pakai melalui peranti mudah alih. Antara faktor yang dikenalpasti menyebabkan pelajar belum mencapai tahap kompetensi bagi mengendalikan peralatan pengukuran ialah kerana perlaksanaan sesi amali adalah secara berkumpulan serta kesukaran pensyarah melaksanakan sesi demonstrasi pengendalian peralatan. Justeru, aplikasi ini direkabentuk sebagai alat bahan bantu mengajar, bagi membolehkan pelajar menonton video demontrasi pengendalian peralatan pengukuran dan mencapai nota interaktif berkaitan. Pelajar juga boleh berkomunikasi secara dua hala dengan pensyarah sebelum atau selepas sesi pembelajaran di atas satu platform pembelajaran padlet serta membuat penilaian kendiri melalui kuiz atas talian melalui aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam peranti mudah alih masing-masing. Kajian ini membincangkan enam fasa rekabentuk dan pembangunan kandungan aplikasi ini. Fasa terakhir iaitu fasa penilaian menunjukkan persepsi pelajar terhadap manfaat kandungan aplikasi ini adalah amat baik dengan nilai purata skor min bagi aspek manfaat kepada pelajar berada pada interpretasi tinggi iaitu 4.46.