Perhubungan di antara Sistem Kenaikan Pangkat, Sifat-sifat Personaliti dan Kepuasan Kerja di Kalangan Penjawat Awam Malaysia di Sabah
List of Authors
Mohammad Chin, Nor Emmy Shuhada Derani, Salmee Yahya
Keyword
sistem kenaikan pangat, kepuasan kerja, sifat sifat personaliti
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk meneliti hubungan antara sistem kenaikan pangkat dengan kepuasan kerja dalam kalangan penjawat awam, dengan memberi tumpuan kepada peranan pengantara sifat-sifat personaliti. Sistem kenaikan pangkat merupakan salah satu amalan pengurusan sumber manusia yang kritikal dalam mempengaruhi motivasi, kepuasan, serta kesetiaan pekerja terhadap organisasi. Walau bagaimanapun, keberkesanan sistem ini mungkin dipengaruhi oleh perbezaan individu, khususnya sifat personaliti. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan kuantitatif melibatkan 380 orang penjawat awam persekutuan di Sabah. Data dikumpul melalui soal selidik berstruktur dan dianalisis menggunakan regresi berganda serta ujian pencelahan (mediator). Dapatan kajian menunjukkan bahawa dimensi sistem kenaikan pangkat menyumbang secara signifikan terhadap varians kepuasan kerja (R² = .191; F(2, 377) = 44.59, p < .001). Kelajuan kenaikan pangkat didapati sebagai peramal langsung yang lebih dominan terhadap kepuasan kerja (B = .3615, p < .001; R² = .1773), manakala dimensi lain juga memberi kesan positif yang signifikan (B = .2838, p < .001; R² = .1344). Dari segi peranan pengantara, hanya sifat conscientiousness menunjukkan kesan mediasi yang kecil tetapi signifikan (B = .3967, p = .0158), manakala extraversion dan neuroticism tidak memainkan peranan mediasi yang signifikan (p > .05). Secara keseluruhannya, keputusan kajian menegaskan bahawa persepsi terhadap sistem kenaikan pangkat, khususnya dari segi kelajuan dan keadilan, merupakan faktor utama yang mempengaruhi kepuasan kerja. Sifat personaliti hanya bertindak sebagai pengantara terhad, dengan conscientiousness memberikan sedikit pengaruh tambahan. Kajian ini menyumbang kepada literatur pengurusan sumber manusia dengan menjelaskan keadaan batasan di mana sifat personaliti memediasi hubungan antara sistem kenaikan pangkat dan kepuasan kerja.