Pengajaran terbeza memainkan peranan utama dalam membantu guru untuk memenuhi pelbagai aspek keperluan murid yang berbeza dalam kelas bercantum. Pengajaran terbeza merupakan suatu pendekatan pengajaran yang memerlukan guru mengadaptasi kurikulum, kaedah pengajaran, bahan PdPc, aktiviti PdPc dan hasil murid bagi memenuhi keperluan murid yang berbeza dalam proses pembelajaran. Namun, pendekatan ini masih baharu bagi sesetengah guru termasuklah di Malaysia. Kajian sistematik ini dilaksanakan untuk meninjau, menganalisis secara kritikal dan mensintesis trend yang terkini, pengetahuan guru kelas bercantum dalam pendekatan pengajaran terbeza dan mengenal pasti amalan guru kelas bercantum. Pangkalan data ERIC, SCIENCE DIRECT, Google Scholar dan Taylor & Francis Online digunakan dalam mencari artikel berkaitan dalam tempoh masa 5 tahun ke belakang bermula dari tahun 2017 sehingga 2021. 1709 artikel telah dikenal pasti berdasarkan kata kunci yang ditentukan oleh pengkaji dan sebanyak 7 artikel dipilih dan dianalisis selepas proses saringan. Proses carta alir PRISMA digunakan sebagai panduan dalam proses pemilihan artikel. Dapatan menunjukkan bahawa kajian berkaitan pendekatan pengajaran terbeza di kelas bercantum paling kerap dilaksanakan ialah pada tahun 2020 dan 2021. Namun, kajian-kajian yang berkaitan dengan pendekatan pengajaran terbeza lebih cenderung berfokuskan kepada kawasan pedalaman berbanding di luar bandar dan majoriti kajian-kajian telah dilaksanakan menggunakan pendekatan kualitatif. Dari aspek pengetahuan guru, analisis menunjukkan guru percaya bahawa setiap murid mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan guru mengadaptasi serta melaksanakan aktiviti pembelajaran berdasarkan kebolehan, minat, kemahiran dan profil pembelajaran murid. Dari aspek amalan guru kelas bercantum, guru cenderung menggunakan bahan pembelajaran terbeza diikuti dengan penilaian yang berbeza mengikut tahap murid dan pembelajaran kolaboratif.