Hubungan antara Sindrom Penipu Diri dan Kesejahteraan Psikologi Pekerja Awal Kerjaya di Malaysia: Harga Diri Sebagai Pengantara
List of Authors
Salleh Amat, Subashini Sarawanan
Keyword
Sindrom Penipu Diri, Kesejahteraan Psikologi, Pekerja Awal Kerjaya, Harga Diri, Malaysia
Abstract
Sindrom Penipu Diri merujuk kepada pengalaman psikologi yang yang dialami oleh individu yang cenderung meragui kebolehan diri sendiri dan berasa bimbang bahawa mereka akan dinilai sebagai tidak kompeten walaupun terdapat bukti pencapaian dan kejayaan yang kukuh. Pekerja pada peringkat awal kerjaya terutamanya di Malaysia berisiko tinggi dan terdedah kepada fenomena ini akibat peralihan peranan, tuntutan prestasi yang tinggi serta keperluan adaptasi terhadap persekitaran di tempat kerja. Kesejahteraan psikologi sangat penting bagi memastikan keberkesanan fungsi kerja, penyesuaian yang positif dan mengekalkan kesejahteraan kesihatan mental yang baik secara keseluruhan. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji hubungan antara sindrom penipu diri dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan pekerja awal kerjaya di Malaysia serta menilai peranan harga diri sebagai pembolehubah perantaraan. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif berbentuk korelasi dengan melibatkan 150 orang pekerja awal kerjaya yang mempunyai pengalaman kerja antara 0-5 tahun. Responden dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan daripada pelbagai sektor pekerjaan. Instrumen kajian yang digunakan adalah Clance Impostor Phenomenon Scale (CIPS) untuk mengukur tahap sindrom penipu diri, Ryff’s Psychological Well-Being Scale (PWBS) untuk menilai kesejahteraan psikologi serta Rosenberg Self-Esteem Scale (RSES) yang digunakan sebagai pembolehubah perantaraan. Data kajian dianalisis menggunakan SPSS melalui analisis deskriptif, ujian korelasi Pearson dan data analisis perantaraan menggunakan PROCESS Macro Model 4. Dapatan kajian ini diharapkan dapat menyumbang kepada pemahaman lebih terperinci tentang implikasi sindrom penipu diri terhadap kesejahteraan psikologi pekerja awal kerjaya serta menyokong pembangunan intervensi kaunseling, program psikoedukasi di tempat kerja dan strategi sokongan organisasi yang lebih komprehensif.