Pendidikan untuk semua adalah hasrat kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia bagi merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kejayaan dalam merapatkan jurang pendidikan boleh dicapai melalui usaha dan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk pegawai pelaksana, kumpulan masyarakat, ibu bapa malah pelajar itu sendiri. Matlamat utama pendidikan di Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor adalah melahirkan professional ulul albab yang dapat merealisasikan rancangan pembangunan negara bagi mentadbir organisasi dan masyarakat pada masa akan datang. Potensi intelek, rohani, emosi, pekerti, budaya, dan jasmani serta etika seorang bakal graduan dibangunkan pada tahap maksimum agar menjadi insan yang seimbang sepertimana yang dihasratkan. Namun masalah dalam pendidikan terutama masalah keciciran dalam kalangan pelajar sering berlaku di peringkat pendidikan tinggi dan beberapa faktor telah dikenalpasti sebagai punca keciciran. Masalah disebabkan oleh kewangan, kesihatan, keluarga, disiplin dan tidak berminat lagi untuk belajar telah dikenalpasti sebagai antara punca keciciran pelajar. Oleh itu pelbagai langkah telah diambil oleh fakulti dengan menghubungi ibu bapa/penjaga bagi mendapatkan pengesahan pendidikan anak, khidmat nasihat atau kaunseling serta program mentoring yang dijalankan dari semasa ke semasa. Fakulti dan kolej sendiri turut menjalankan pelbagai usaha dalam membendung isu keciciran pelajar termasuklah menambah baik kemudahan asas, memperbanyakkan program motivasi bagi meningkatkan kesedaran pelajar dan memperluas program-program bantuan seperti bantuan Tabung Infaq, Pusat Zakat dan sebagainya. Fakulti sendiri turut menyediakan unit bimbingan dan motivasi kepada pelajar bagi meningkatkan minat mereka untuk meneruskan pengajian. Bantuan berbentuk makanan percuma turut diberikan dua kali seminggu sepanjang semester pengajian bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan lebih selesa.