Cabaran Utama Pemimpin Politik Wanita dalam Memerangi Stereotaip Gender
List of Authors
Azahah Abu Hassan Shaari1 Abu Hassan Shaari, Norhayati Alias, Siti Marziah Zakaria, Siti Nurbatrisyia Mohamad Riadz
Keyword
pemimpin, wanita, kepimpinan wanita, pemerkasaan gender, pilihan raya
Abstract
Malaysia berada di tangga tercorot dalam ASEAN bagi penyertaan wanita dalam politik. Kerajaan menetapkan sasaran 30% penyertaan wanita dalam pilihan raya. Namun, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang lalu, hanya 12% sahaja calon wanita yang bertanding. Peratusan wanita di Parlimen Malaysia masih berada di bawah 20% yang menunjukkan masih banyak jurang yang perlu ditutup. Justeru, kajian perlu dijalankan untuk mendapat input mengenai situasi yang dihadapi oleh ahli politik wanita masa kini. Kajian secara kualitatif dengan menggunakan pendekatan fenomenologi telah dijalankan bagi meneroka cabaran utama ahli politik wanita di Malaysia. Persampelan purposif telah digunakan untuk memilih responden kajian. Responden perlu memenuhi kriteria inklusif yang ditetapkan iaitu ahli politik yang masih aktif dan telah terlibat dalam politik dalam tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun. Seramai lima (5) orang pemimpin politik wanita telah terlibat dalam kajian ini. Responden terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia. Kajian dijalankan melalui kaedah temu bual separa berstruktur untuk memberi peluang yang lebih besar kepada responden untuk memberi input. Dapatan menunjukkan bahawa cabaran utama yang dilalui oleh ahli politik wanita adalah cabaran untuk mengurus pandangan yang pelbagai, cabaran untuk membahagikan masa dan tanggungjawab, cabaran untuk menempatkan diri sebaris dengan lelaki serta cabaran dalam menentang budaya patriarki dan stereotaip gender. Hasrat kerajaan untuk mencapai 30% wanita dalam Parlimen Malaysia boleh direalisasikan dengan adanya latihan berterusan dalam bidang kepimpinan, komunikasi dan pembuatan keputusan.