Analisis Sosiolinguistik Multidimensi terhadap Partikel al- (ال) dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī: Perspektif Wacana dan Tafsiran Semantik
List of Authors
  • Ahmad Rushdi Haji Haroon, Saipolbarin Ramli

Keyword
  • Partikel al - (ال); Sosiolinguistik; Analisis Wacana; Semantik; Hadis

Abstract
  • Kajian terhadap partikel al- (ال) dalam bahasa Arab lazimnya berfokus pada aspek nahu dan kategori tradisional seperti al-ʿahdīyah dan al-jinsīyah, namun pengaruh konteks wacana terhadap tafsiran semantik masih kurang dikaji secara mendalam. Kekurangan ini menimbulkan kesamaran dalam memahami fungsi al- dalam teks hadis, apabila maknanya tidak dikaitkan dengan konteks linguistik, keagamaan dan sosiobudaya yang mendasarinya. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi menganalisis pengaruh konteks wacana terhadap tafsiran semantik partikel al- (ال) dalam korpus Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, dengan memberi tumpuan terhadap peranannya dalam membentuk kohesi, kejelasan makna, dan kesatuan mesej kenabian. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif melalui analisis wacana terhadap lima belas hadis daripada Kitāb al-Īmān dengan berasaskan kerangka kohesi Halliday & Hasan, serta model wacana kognitif Van Dijk. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengaruh konteks wacana membentuk tiga dimensi utama dalam penentuan makna al- (ال): (i) dimensi linguistik, iaitu al- berperanan sebagai penanda kohesi dan kesinambungan wacana melalui rujukan anaforik dan eksforik; (ii) dimensi keagamaan dan sosiobudaya, apabila al- menandai istilah syarak dan identiti komuniti Islam seperti al-Islām, al-Dīn dan al-Anṣār; serta (iii) dimensi kognitif dan pragmatik, apabila partikel ini membantu pendengar memahami maksud hadis dengan lebih mendalam dan memperkukuh implikasi dakwah. Secara keseluruhannya, kajian ini menjelaskan bahawa tafsiran partikel al- perlu dilihat sebagai fenomena sosiolinguistik multidimensi, yang menggabungkan interaksi antara bahasa, agama dan budaya dalam memahami keindahan serta hikmah linguistik teks kenabian. Penemuan ini memberi implikasi signifikan terhadap pedagogi bahasa Arab, termasuk pengajaran tafsiran hadis, pembangunan literasi keagamaan, serta pengukuhan kefahaman kognitif dan semantik pelajar dalam konteks pendidikan Islam moden.

Reference
  • No References Recorded