Pendidikan Sejarah diperkenalkan di sekolah rendah untuk menerapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran pemikiran Sejarah dalam kalangan murid. Kemahiran kronologi adalah salah satu elemen yang terkandung di dalam KPS. Dalam usaha untuk menerapkan kemahiran kronologi dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah, penggunaan peta pemikiran I-Think adalah satu teknik pengajaran abad ke-21 yang memberi keberkesanan dalam PdP. Oleh demikian, satu penelitian perlu dilaksanakan bagi tujuan mengenal pasti kesediaan guru Sejarah terhadap penggunaan peta pemikiran I-Think dalam menerapkan kemahiran kronologi di sekolah rendah. Seramai 100 orang guru sekolah rendah dipilih secara rawak sebagai responden kajian ini. Soal selidik telah digunakan sebagai instrumen bagi pengumpulan data kajian. Perisian Statistical Package Social Science versi 26 digunakan dalam kajian ini untuk menganalisis data. Data dianalisis melalui dua jenis kaedah iaitu analisis deskriptif yang bertujuan untuk mendapatkan tahap kesediaan guru terhadap penggunaan peta pemikiran I-Think dan tahap kesediaan guru Sejarah dalam menerapkan kemahiran kronologi di sekolah rendah. Manakala, analisis inferensi pula digunakan untuk menganalisis hubungan antara kesediaan guru Sejarah terhadap penggunaan peta pemikiran I-Think dengan penerapan kemahiran kronologi di sekolah rendah. Hasil kajian mendapati tahap kesediaan guru Sejarah terhadap penggunaan peta pemikiran I-Think berada pada tahap tinggi dan kesediaan guru Sejarah terhadap penggunaan peta pemikiran I-Think dalam menerapkan kemahiran kronologi menunjukkan tahap sederhana timggi. Hasil kajian juga mendapati kesediaan guru Sejarah dalam penggunaan peta pemikiran I-Think mempunyai hubungan linear dan positif terhadap penerapan kemahiran kronologi di sekolah rendah.