Masalah sosial berkaitan seks dalam kalangan remaja di negara ini sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Kes-kes hamil luar nikah, buang bayi, rogol ketika keluar temujanji dan seumpamanya yang dilaporkan di dada akhbar menimbulkan kesedaran bahawa pendidikan seksual amat penting untuk diberikan kepada golongan remaja. Tambah pula, kajian terdahulu membuktikan bahawa remaja di negara ini memiliki tahap pengetahuan seksual yang sederhana dan/atau rendah. Ini tidak menghairankan kerana kajian juga menunjukkan bahawa kawan-kawan dan internet adalah dua sumber utama remaja mendapat maklumat tentang seks. Untuk memperbaiki keadaan ini, pendidikan seksual diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia, baik di sekolah rendah, mahupun menengah. Pendidikan seksual ini diajarkan merentas kurikulum dan dari segi perlaksanaannya, ia memiliki kekangan-kekangannya yang tersendiri yang menjejaskan keberkesanan pendidikan seksual tersebut. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti satu Model Pendidikan Seksual Islami dalam usaha untuk memperkasakan anak-anak dengannya. Dengan merujuk kepada hasil tulisan pemikir Islam – Abdullah Nasih Ulwan – pendidikan seksual dari perspektif Islam akan diketengahkan untuk manfaat masyarakat. Ternyata Islam telah menyediakan garis panduan yang terperinci berkaitan hal ini yang merangkumi: (i) kepentingan pendidikan seksual kepada anak-anak; (ii) kandungan pendidikan seksual dalam Islam; (iii) agen sosialisasi pendidikan seksual yang terbaik; (iv) kaedah pelaksanaan pendidikan seksual; (v) masa yang sesuai untuk melaksanakan pendidikan seksual; dan, (vi) tempat yang sesuai untuk melaksanakan pendidikan seksual. Kajian ini menyimpulkan bahawa Abdullah Nasih Ulwan telah mengenengahkan Model Pendidikan Seksual Islami yang asas dan model ini perlu diketengahkan untuk manfaat masyarakat Muslim, khususnya ibu bapa, agar mereka dapat diperkasakan untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan seksual ini sebaik mungkin.