Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penggubalan akta serta undang-undang yang diwartakan oleh pihak Kerajaan Malaysia adalah suatu tindakan yang wajar demi membendung penularan wabak penyakit berjangkit seperti yang dialami negara dan seluruh dunia akibat serangan pandemik COVID-19. Transisi dari fasa pandemik yang beralih kepada fasa endemik secara tidak langsung memberi impak kepada kehidupan manusia. Kajian ini dilaksanakan untuk mengenalpasti sejauhmanakah kesan pandemik COVID-19 mengubah struktur kehidupan masyarakat di Malaysia. Perbincangan akan menumpukan terhadap akta dan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh rakyat Malaysia semasa PKP. Kerjasama semua pihak dalam memastikan slogan ‘kita jaga kita’ adalah perlu dititikberatkan. Kaedah penyelidikan ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif sepenuhnya. Hasil kajian mendapati bahawa amalan norma baharu dalam kehidupan telah mengajar betapa pentingnya melindungi diri sendiri serta orang sekeliling daripada perkara yang tidak dijangka. Penularan wabak ini telah mendorong kepada pelaksanaan PKP sejak bermulanya 18 Mac 2020, sedikit sebanyak telah mengajar rakyat untuk mengubah gaya hidup dengan mementingkan kesihatan dan keselamatan diri.