Kesepaduan Keluarga dan Tingkah Laku Disruptif dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah
List of Authors
Rosilah Samad, Shahlan Surat
Keyword
Kesepaduan Keluarga, Tingkah Laku Disruptif, Sekolah Rendah
Abstract
Pengurusan tingkah laku murid merupakan salah satu aspek penting dalam pengurusan bilik darjah. Tingkah laku disruptif yang tidak terkawal akan mengganggu proses pembelajaran murid di dalam kelas. Kajian kuantitatif berbentuk tinjauan ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesepaduan keluarga dan tahap tingkah laku disruptif dalam kalangan murid sekolah rendah. Kajian ini juga melihat hubungan antara kesepaduan keluarga dan tingkah laku disruptif murid sekolah rendah. Seramai 270 orang murid sekolah rendah di Daerah Tawau dipilih sebagai sampel kajian menggunakan persampelan rawak mudah. Instrumen soal selidik yang digunakan diadaptasi daripada Family Cohesion Scale (FCS) dan Disruptive Behavior Scale for Adolescents (DISBA). Data kajian dianalisis secara deskripsi dan inferensi menggunakan Statistical Package for Social Sciences (SPSS) 25.0. Hasil kajian menunjukkan tahap kesepaduan keluarga serta tahap tingkah laku disruptif murid berada pada tahap sederhana tinggi. Analisis korelasi menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara kesepaduan keluarga dengan tingkah laku disruptif murid. Kajian ini dapat dijadikan rujukan untuk merancang intervensi yang sesuai bagi menangani masalah tingkah laku murid. Kajian lanjutan boleh diperluaskan lagi dengan mengkaji faktor lain yang mempengaruhi tingkah laku disruptif murid. Kajian juga boleh memfokuskan pengaplikasian intervensi masalah tingkah laku berdasarkan model dan teori.