Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesediaan guru dalam melaksanakan PdP Abad Ke-21 di bilik darjah dan tahap keperluan latihan guru untuk menambahbaik dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pelaksanaan PAK21 ini. Selain itu, kajian ini akan meninjau sejauh mana kemampuan guru-guru melaksanakan PdP Abad-21 di bilik darjah. Berdasarkan kajian lepas, didapati bahawa guru bersedia melaksanakan PAK21 tetapi kurangnya pengetahuan dan pemahaman tentang PAK21 telah membataskan pelaksanaannya di sekolah. Penggunaan elemen PAK21 juga kurang disebabkan kurangnya keyakinan dalam menggunakan ICT di bilik darjah. Dapatan kajian lepas tentang keperluan latihan guru telah menyokong kepada penambahbaikan pembangunan profesional guru dalam usaha melaksanakan PAK21 dengan lebih berkesan di sekolah. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan kuantitatif yang menggunakan borang soal selidik untuk mengumpul data. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesediaan guru (min= 3.84, S.P= 0.51) dan keperluan latihan guru (min= 3.63, S.P= 0.69) terhadap pelaksanaan PAK21 masing-masing adalah pada tahap sederhana tinggi. Ujian Korelasi Pearson pula menunjukkan bahawa terdapat hubungan tahap kesediaan dan keperluan latihan guru yang signifikan terhadap kemampuan pelaksanaan PdP Abad Ke-21, iaitu pada r= 0.831. Ini menunjukkan bahawa kesediaan dan keperluan latihan guru mempunyai hubungan yang positif dan kuat dengan kemampuan melaksanakan PAK21 di Daerah Song. Kesimpulannya, guru memerlukan latihan dan bimbingan daripada tenaga pakar untuk meningkatkan dan memantapkan pengetahuan sedia ada tentang pelaksanaan PAK21 agar mereka mampu melaksanakan PAK21 yang boleh meningkatkan kemahiran dan pencapaian akademik pelajar. Oleh itu, pihak PPD dan pihak sekolah boleh mengambil tindakan yang seterusnya sebagai usaha dalam meningkatkan dan memantapkan lagi pelaksanaan PAK21 di sekolah.