Pelaksanaan pembelajaran mudah alih (m-pembelajaran) di dalam kelas semakin meningkat dari tahun ke tahun. Penggunaan pembelajaran teknologi tanpa wayar ini tidak membataskan capaian maklumat walau dimana jua berada. M-pembelajaran juga memberi daya tarikan yang lebih menarik dengan adanya fungsi audio dan video yang boleh dilayari secara terus berbanding dengan kaedah konvensional. Walaupun terdapat penggunaan platform CIDOS sebagai medium e-pembelajaran utama di Politeknik Malaysia namun, ia masih menerima pelbagai persepsi terhadap implementasinya. Pelaksanaan pembelajaran secara m-pembelajaran dalam kalangan pelajar politeknik terutamanya jurusan logistik dan rangkaian bekalan masih kurang. Justeru itu, satu kajian deskriptif bertujuan bagi meninjau penerimaan aplikasi mudah alih sebagai platform pembelajaran sokongan dalam kursus DPL6043 Operasi Pengurusan Pelabuhan dan DPL20023 Prinsip dan Amalan Pengangkutan bagi pelajar semester 4 dan 2 Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan (DLS), Politeknik Seberang Perai dijalankan. Kajian ini juga melihat tahap penerimaan platform CIDOS yang sedang digunakan sebagai medium e-pembelajaran utama dan tahap penerimaan aplikasi mudah alih iHUB yang dibangunkan sebagai medium e-pembelajaran sokongan dalam kelas. Kajian kuantitatif berbentuk tinjauan deskriptif ini melibatkan seramai 134 orang pelajar sebagai sampel dan menggunakan Perisian Statistical Package for Social Science versi 25.0 bagi menganalisa data yang diperolehi. Hasil analisis statistik deskriptif mendapati bahawa tahap penerimaan CIDOS dan iHUB adalah tinggi dengan nilai min penerimaan CIDOS 3.76 dan nilai min penerimaan iHUB adalah 3.99. Manakala, ujian Korelasi Pearson di antara penerimaan CIDOS dan penerimaan iHUB pula menunjukkan terdapat korelasi signifikan pada tahap sederhana dengan nilai 0.634. Secara keseluruhannya, penerimaan terhadap CIDOS adalah tinggi kerana didasari oleh kemampuan dan kemahiran pelajar serta dorongan dari pensyarah dalam menggunakannya. Manakala, penerimaan terhadap iHUB juga adalah tinggi kerana kecirian aksesbiliti, mobiliti dan mesra pengguna. Secara tidak langsung kedua-duanya mempunyai hubungan dalam membantu pembangunan pembelajaran dalam konteks e-pembelajaran.