Toleransi merupakan satu pendekatan penting dalam konteks interaksi masyarakat majmuk. Ia merujuk kepada satu keadaan di mana wujudnya sikap tolak ansur dan saling hormat-menghormati dalam masyarakat yang dicirikan dengan perbezaan dalam pelbagai bentuk. Lazimnya, perbezaan menjadi fokus kepada sikap toleransi ini. Namun begitu, toleransi tidak harus difahami hanya dari sudut menyantuni perbezaan. Ia juga harus merangkumi beberapa aspek lain seperti penerimaan kepada perbezaan, berpegang kepada prinsip-prinsip asas dalam agama serta berupaya memperkasakan nilai-nilai seperti muafakat, muhibah, harmoni dan keamanan. Dari perspkeitf Islam, istilah ‘toleransi’ dirujuk sebagai tasamuh. Ia berakar umbi daripada perkataan 'samaha' yang membawa maksud murah hati, menderma, lemah lembut dan pemaaf. Ini menjelaskan bahawa tasamuh atau toleransi itu berasaskan kedamaian, bertolak-ansur dan berlapang dada bukannya melalui pendekatan paksaan, diskriminasi atau penghinaan. Penulisan ini membincangkan toleransi berprinsip menerusi kerangka maqasid shariah seiring dengan pemahaman Islam sebagai agama rahmah. Pendekatan toleransi bukan bermaksud melonggarkan atau menggadaikan pegangan kepada prinsip-prinsip asas dalam Islam. Toleransi dalam Islam memastikan individu memainkan peranan positif sebagai sebahagian anggota masyarakat yang lebih beradab dan berakhlak seperti digariskan agama. Ia juga menitikberatkan kepada prinsip keadilan dan menghormati perbezaan sebagai asas interaksi dan hubungan di dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya di Malaysia.