Perenggu minda Melayu dalam lirik lagu: Satu analisis makna
List of Authors
  • Masitah Mad Daud , Zulkifley Hamid

Keyword
  • Konsep tujuh jenis makna, pemikiran, perenggu minda, rawak bertujuan, Six Thinking Hats

Abstract
  • Perenggu minda melayu dapat dilihat dalam pelbagai khazanah bahasa Melayu. Kajian ini mengkhusus kepada penganalisisan makna yang terkandung dalam lirik lagu Melayu untuk membolehkan kita melihat bentuk pemikiran orang Melayu. Bidang semantik mengkaji dan menganalisis makna perkataan dan ayat. Perkataan merupakan unit ujaran yang bebas dan mempunyai makna. Bahasa dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana anggota masyarakat perlu saling berhubungan, dan bahasa adalah medium yang paling berkesan untuk menyampaikan makna. Bahasa dalam lirik lagu juga sangat penting dalam menyampaikan makna kepada pendengar. Makna yang terdapat dalam lirik lagu adalah pengertian yang bukan sahaja muncul daripada bahasa yang disusun dan digunakan, bahkan mempunyai perkaitan dengan bentuk pemikiran penulis lirik lagu tersebut. Oleh itu, kajian ini dijalankan adalah untuk menganalisis jenis-jenis makna perkataan dan kategori gaya berfikir yang terdapat dalam lirik lagu yang dinyanyikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Kajian ini turut menghuraikan perkaitan antara jenis-jenis makna perkataan yang digunakan dengan pemikiran yang terserlah melalui lirik lagu-lagu tersebut. Kajian ini menggunakan data lirik lagu yang dinyanyikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza daripada tahun 1996 hingga 2010 yang dipilih secara rawak bertujuan (purposive sampling). Kajian ini telah menggunakan pendekatan konsep tujuh jenis makna yang diperkenalkan oleh Geoffery Leech (1974) dan model Six Thinking Hats yang dikemukakan oleh Edward De Bono (1992). Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat enam jenis penggunaan makna daripada tujuh jenis yang telah dikemukan oleh Leech (1974) iaitu makna konotatif, stilistik, afektif, reflektif, kolokatif dan tematik. Selain itu, hasil kajian juga menunjukkan bahawa keenam-enam skema warna topi atau gaya berfikir tersebut terserlah melalui bait-bait lagu yang diaplikasikan melalui penggunaan jenis-jenis skema berfikir tersebut. Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa bait-bait lagu bukanlah hanya untuk menghibur tetapi turut bertujuan untuk mewujudkan suasana ketenangan, di samping mendidik para pendengar dengan pelbagai nilai murni. Lirik lagu Melayu dapat memberikan kita gambaran tetang perenggu minda Melayu.

Reference