Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui tahap penglibatan ibu bapa dalam PdPR di rumah Murid Berkeperluan Khas Pembelajaran berdasarkan enam jenis penglibatan ibu bapa. Responden kajian merupakan ibu bapa murid berkeperluan khas dari empat buah sekolah rendah di negeri Melaka. Kajian tinjauan ini menggunakan sepenuhnya soal selidik dalam mendapatkan data dan kemudian dianalisis secara deskriptif menggunakan SPSS Versi 26. Analisis deskriptif digunakan untuk menganalisa frekuensi, peratus, min dan sisihan piawai. Penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam pendidikan sememangnya memberi kesan yang positif kepada murid, ibu bapa dan guru. Model Joyce Epstein merupakan salah satu model yang menerangkan berkenaan penglibatan ibu bapa yang mengandungi enam konstruk iaitu kategori keibubapaan, kategori komunikasi, kategori kesukarelawanan, kategori pembelajaran di rumah, kategori kepemimpinan dan kategori kolaborasi dengan komuniti. Hasil kajian menunjukkan tahap penglibatan ibu bapa berada pada tahap tinggi untuk tiga jenis penglibatan iaitu tanggungjawab keibubapaan, pembelajaran di rumah dan kolaborasi dengan komuniti manakala untuk komunikasi, kesukarelawanan dan kepemimpinan pula berada pada tahap sederhana tinggi. Hasil dapatan kajian secara keseluruhannya menunjukkan tahap penglibatan ibu bapa berada pada tahap yang sederhana tinggi.