Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenal pasti tahap keberkesanan, kemudahan dan motivasi murid aliran perniagaan semasa pembelajaran dalam talian. Kajian ni juga mengkaji hubungan antara keberkesanan dan kemudahan pembelajaran dalam talian dengan motivasi murid aliran perniagaan semasa pandemik COVID-19. Pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan dan bukan eksperimental telah digunakan dalam kajian ini. Pemilihan sampel kajian dilaksanakan secara persampelan rawak mudah melibatkan 140 orang murid aliran perniagaan di sebuah sekolah di daerah Sepang. Instrumen kajian melibatkan soal selidik yang diadaptasi dan diubahsuai mengikut keperluan dan kesesuaian kajian. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 26.0. Penyelidik menjalankan analisis statistik deskriptif untuk menjelaskan tahap keberkesanan, kemudahan dan motivasi murid aliran perniagaan semasa pembelajaran dalam talian. Analisis statistik inferensi juga dilaksanakan dan melibatkan analisis korelasi Pearson yang menerangkan hubungan keberkesanan dan kemudahan pembelajaran dalam talian dengan motivasi semasa pembelajaran dalam talian. Hasil analisis ujian Korelasi Pearson pula mendapati terdapat hubungan signifikan yang lemah antara keberkesanan pembelajaran secara dalam talian dengan motivasi murid semasa pembelajaran dalam talian dengan nilai korelasi 0.360. Manakala kemudahan pembelajaran secara dalam talian dengan motivasi murid semasa pembelajaran dalam talian menunjukkan nilai korelasi 0.206. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara keberkesanan dan kemudahan pembelajaran dalam talian dengan motivasi semasa pembelajaran dalam talian. Kesimpulan daripada kajian menunjukkan bahawa tahap keberkesanan yang tinggi dan kemudahan pembelajaran secara dalam talian yang lengkap mampu meningkatkan motivasi murid aliran perniagaan.