Tahap Motivasi dalam Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua dalam Kalangan Pelajar Etnik India
List of Authors
Leelambigai A Gunasekar, Norshahila Mohamad Razak, Norul Huda Mohd Ghazali
Keyword
Motivasi, Pelajar Etnik India, Bahasa Melayu, Penulisan Esei
Abstract
Motivasi merupakan elemen penting yang mendorong pelajar bukan penutur natif untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Kajian ini bertujuan mengenal pasti tahap motivasi pelajar etnik India dalam mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, khususnya dalam aspek penulisan esei. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk kajian kes yang melibatkan 100 orang pelajar etnik India dari Universiti di Petaling Jaya, Selangor. Instrumen kajian berupa soal selidik yang mengandungi 29 item digunakan bagi tujuan pengumpulan data. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian SPSS Versi 20 untuk mendapatkan statistik deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap motivasi pelajar etnik India berada pada tahap sederhana dalam mempelajari penulisan esei bahasa Melayu. Hasil ini mencadangkan bahawa tahap motivasi pelajar dapat ditingkatkan melalui penglibatan aktif guru dan pihak universiti dalam proses pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Justeru, guru bahasa Melayu disarankan untuk mengaplikasikan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan, manakala pihak universiti digalakkan menganjurkan program atau aktiviti yang dapat merangsang motivasi pelajar serta memperkukuh penguasaan bahasa dan kemahiran menulis mereka.