Pembelajaran Berasaskan Masalah adalah kaedah pembelajaran yang memberi kesan positif kepada murid. Hal ini disebabkan kaedah ini tidak mempunyai satu jalan penyelesaian yang spesifik. Pemikiran kreatif dan kritis sangat penting. Tinjauan Literatur Sistematik ini bertujuan untuk mengenal pasti strategi penyelesaian masalah dan kepentingannya terhadap murid. Untuk kajian ini, dua pangkalan data digunakan untuk mendapatkan artikel kajian-kajian iaitu Scopus dan Web of Science. Sebanyak 34 artikel kajian dalam tempoh tahun 2018 hingga 2022 diperoleh dan dianalisis berdasarkan Model PRISMA. Kajian ini mendapati bahawa strategi perwakilan model penyelesaian masalah adalah antara strategi yang popular dan terdapat juga beberapa strategi yang kurang popular. Namun begitu, impak yang diperoleh daripada semua strategi yang dianalisis memberi impak yang positif iaitu meningkatkan skor, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, meningkatkan fokus dan motivasi murid. Kesimpulannya, guru matematik perlu mengaplikasikan pelbagai strategi penyelesaian masalah matematik walaupun terdapat pelbagai kekangan.