Pengajaran Nombor dan Jenis Ayat Bahasa Arab Berasaskan Formula
List of Authors
Azhani Almuddin, Syahirah Almuddin
Keyword
pengajaran, jenis ayat, nombor, bahasa Arab
Abstract
Pelbagai subjek telah lama menerapkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berasaskan formula, termasuklah dalam P&P bahasa Arab. Penerapan kaedah P&P yang berasaskan formula khususnya bagi topik jenis ayat iaitu ayat kata kerjaan dan ayat kata namaan, serta nombor dan bilangan amat sesuai diterapkan. Hal ini kerana kaedah yang lebih kreatif untuk memudahkan pemahaman pelajar dengan cara yang lebih berkesan diperlukan untuk topik-topik ini. Kaedah P&P berasaskan formula dapat membantu pelajar yang cenderung ke arah gaya pembelajaran secara visual kerana gaya pembelajaran setiap pelajar adalah berbeza-beza. Silibus subjek TAC501 Bahasa Arab Permulaan (Tahap III) mengandungi topik ayat kata kerjaan dan ayat kata namaan serta nombor dan bilangan. Subjek ini ditawarkan di kampus-kampus Universiti Teknologi MARA di fakulti-fakulti tertentu kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda sebagai subjek bahasa ketiga. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti keberkesanan pengajaran topik berasaskan formula bagi jenis ayat, iaitu ayat kata kerjaan dan ayat kata namaan serta nombor dan bilangan bahasa Arab. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan. Instrumen kajian ini adalah borang soal selidik menggunakan google form bagi mengumpul data kajian. Analisis data dijelaskan secara deskriptif berdasarkan peratusan. Pengajaran berasaskan formula bagi topik ayat kata kerjaan dan ayat kata namaan serta nombor dan bilangan bahasa Arab adalah berkesan untuk diaplikasi berdasarkan maklum balas daripada pelajar.