Amalan membaca merupakan salah satu amalan yang mampu memanfaatkan seseorang individu dalam kehidupannya. Walau bagaimanapun, bilangan bacaan buku dalam kalangan murid sekolah rendah adalah amat kurang atas beberapa faktor seperti format buku rekod NILAM yang lama dan kurang minat dalam membaca dan membuat perekodan secara dalam talian. Untuk menangani masalah ini, intervensi I.SCaR NILAM (The Intervention of Scan and Record for NILAM) telah dirancang dan dilaksanakan mengikut model kajian tindakan Kemmis dan McTaggart (1988). Intervensi I.SCaR NILAM melibatkan empat elemen utama iaitu pengubahsuaian borang perekodan, penyediaan kod QR, perpustakaan maya serta sistem ganjaran. Seramai 8 orang murid yang mempunyai kadar perekodan bacaan buku yang rendah pada sesi akademik yang lepas telah terpilih sebagai peserta dalam kajian ini. Instrumen yang digunakan termasuk analisis data, soal selidik serta temu bual semi berstruktur. Kajian ini berlangsung selama dua bulan. Hasil kajian menunjukkan peningkatan yang ketara dalam perekodan bacaan buku dalam sistem NILAM Johor, di mana bilangan rekod bacaan mereka telah meningkat antara 54 sehingga 554 buah rekod. Dapatan soal selidik juga menunjukkan bahawa sebahagian besar murid menganggap intervensi I.SCaR NILAM telah memberi kesan positif terhadap tahap minat membaca mereka, dengan 85% menyatakan peningkatan minat dalam membaca selepas mengambil bahagian dalam intervensi ini. Selain itu, hampir semua murid merasakan bahawa elemen-elemen seperti buku rekod NILAM yang baharu dan penggunaan kod QR telah memudahkan proses perekodan bacaan buku mereka. Berdasarkan temu bual yang telah dijalankan, murid-murid telah menyatakan bahawa intervensi I.SCaR NILAM ini mudah diguna dan mereka menjadi lebih berminat untuk membuat perekodan tersebut. Intervensi ini telah memberikan implikasi yang signifikan kepada kumpulan tersasar kerana intervensi ini mampu merangsang minat membaca dan perekodan bacaan buku dalam kalangan murid serta memberikan panduan untuk mendidik generasi anak yang baik lagi cerdik yang menjadikan amalan membaca sebagai tabiat pada masa depan.