Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri diperkenalkan sebagai transformasi pendidikan di Malaysia bagi melahirkan lebih ramai usahawan. Namun timbul masalah pembaziran yang merugikan negara apabila berlaku ramai belia yang diberi bantuan dan sokongan gagal menjayakan matlamat yang diharapkan kerajaan. Seringkali isu kesediaan keusahawanan dilihat sebagai punca masalah. Oleh itu, satu kajian telah dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti tahap kesediaan keusahawanan pelajar. Selain untuk meninjau adakah wujud perbezaan yang signifikan antara tahap kesediaan pelajar yang telah menghadiri modul keusahawanan dan mengenalpasti perbezaan antara tahap kesediaan pelajar berdasarkan program pengajian yang diambil. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kajian tinjauan perbandingan dengan melibatkan 260 orang pelajar yang telah mengambil modul keusahawanan dan juga yang belum megambil modul keusahawanan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kesediaan keusahawan pelajar adalah bertahap sederhana dan tidak terdapat perbezaan kesediaan keusahawan yang signifikan antara pelajar yang belum dan yang telah mengambil kursus keusahawan tersebut. Namun dapatan kajian mendapati terdapat perbezaan kesediaan keusahawanan yang signifikan antara pelajar dari pelbagai program. Dapatan kajian ini juga menunjukkan terdapat keperluan bagi institusi TVET untuk menyediakan kursus-kursus dan latihan keusahawan yang bersesuaian bagi menambah ilmu pengetahuan, pengalaman, mendorong minat dan seterusnya meningkatkan kesediaan pelajar dalam keusahawanan. Usaha ini sangat penting bagi membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan institusi pendidikan TVET sebagai pusat melahirkan modal insan yang berminda keusahawanan dan seterusnya mampu berdikari dan menjadi usahawan atau pencipta pekerjaan yang cemerlang. Secara tidak langsung akan mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.