Pada masa kini, penguasaan guru dalam mengendalikan teknologi semasa pengajaran semakin diberikan perhatian. Oleh yang sedemikian, bagi mengenalpasti penguasaan guru dalam penggunaan teknologi, kajian dalam Pengetahuan Teknologi Pedagogi Kandungan (PTPK) dalam kalangan guru Matematik perlu dijalankan. Dengan adanya model PTPK, dapat membantu para pengkaji menjalankan kajian yang masih relevan sehingga masa kini. Kajian ini merupakan sorotan literatur bersistematik bagi PTPK. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji bentuk kajian yang telah dijalankan dalam bidang PTPK. Terdapat tiga persoalan yang akan dianalisis iaitu kekerapan kajian PTPK, jenis penyelidikan serta skop kajian dalam PTPK. Rekabentuk bagi kajian ini adalah kajian tinjauan dengan mensintesis kajian yang terdapat dalam enjin pencarian Scopus dan Web of Science. Pencarian dalam enjin pencarian tersebut telah dihadkan kepada lima tahun semasa iaitu bermula pada tahun 2016 hingga 2020. Hasil pencarian telah menjumpai sebanyak 194 tajuk. Daripada 194 tajuk yang dijumpai dalam dua enjin pencarian, saringan artikel dilakukan dengan menggunakan carta alir PRISMA. Hasil daripada saringan, hanya sebanyak 20 tajuk telah dianalisis mengikut persoalan kajian. Analisis mendapati bahawa kekerapan penghasilan kajian dalam bidang ini adalah hampir sekata dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, malahan jenis penyelidikan yang digunakan merangkumi penyelidikan kuantitatif, penyelidikan kualitatif serta gabungan penyelidikan kuantitatif dan kualitatif. Skop kajian bagi bidang ini kebanyakkannya mencakupi tahap kualiti PTPK guru, kaedah pengajaran guru berbantukan teknologi dan keberkesanan penggunaan teknologi dalam pengajaran Matematik. Penguasaan PTPK ini dapat membantu guru dalam menyampaikan suatu pengajaran secara berkesan berbantukan alat teknologi yang sedia ada. Ini seterusnya dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan kefahaman murid.