Seiring kemajuan dunia, matematik dilihat sangat penting dalam kehidupan masa kini. Mempelajarinya bukanlah suatu yang merugikan. Namun, tidak semua memahami ilmu yang terkandung dalam subjek tersebut. Oleh yang demikian, kajian ini dilaksanakan bertujuan membuat tinjauan literatur bersistematik terhadap penyesuaian teknik pengajaran dan pembelajaran dalam matematik. Terdapat dua persoalan kajian iaitu apakah teknik pengajaran dan pembelajaran dan bagaimana teknik pengajaran dan pembelajaran dalam matematik diaplikasikan. Model yang digunakan dalam kajian ini adalah model PRISMA. Enjin carian yang digunakan dalam kajian ini adalah daripada SCOPUS dan Web of Science (WoS). Daripada 186 artikel yang ditemui, sebanyak 21 artikel diterima yang mana telah memenuhi tujuan kajian. Berdasarkan analisis yang telah dijalankan, terdapat 3 teknik pengajaran yang dapat dikenal pasti iaitu teknik pemusatan guru, teknik pemusatan bahan dan teknik pemusatan murid. Dapatan kajian menunjukkan bahawa teknik yang berpusatkan murid sesuai diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Oleh yang demikian, guru perlu berfikiran kreatif dan kritis dalam membantu murid untuk bergerak aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.