Sejak sekian lama Raja Bersiong menjadi sebuah cerita warisan sastera rakyat dan lagenda silam yang telah mempopularkan sejarah dan tamadun Melayu Kedah Tua. Baginda merupakan salah seorang Raja dari kerajaan Melayu Kedah seperti mana tercatat di dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Di dalam pelbagai penceritaan dan kajian, baginda sering digambarkan sebagai sebuah kisah mitos dan penglipur lara yang dikaitkan dengan pelbagai unsur kezaliman serta penyimpangan amalan yang menyebabkan berlakunya penentangan golongan rakyat terhadap institusi diraja. Kesannya baginda digulingkan namun tahta kerajaan dapat diselamatkan hasil kebijaksanaan permaisuri serta golongan pembesar yang ingin meneruskan legasi keturunan Mahawangsa bertahta memerintah negeri Kedah. Kajian ini menggunakan pelbagai sumber dokumentasi dan kerja-kerja lapangan bagi mendapatkan gambaran jelas terhadap kisah tersebut. Hasil kajian merumuskan bahawa kisah Raja Bersiong tersebut merupakan sebuah kisah yang nyata berlaku bukannya sebuah kiasan terhadap kepimpinan institusi Raja sebaliknya sebagai satu rekod sejarah yang bertujuan memberikan teladan kepada golongan pemerintah dan masyarakat silam.